Showing posts with label Quran. Show all posts
Showing posts with label Quran. Show all posts

22 Apr 2016

al-quran

Lepas maghrib, aku capai al-quran. Aku ajak Umar mengaji. Tanya dia setakat mana dia dah mengaji kat KAFA, dengar dia cerita sikit pasal sekolah. Raikan cerita dia, biar dia selesa. Kami mula dengan surah an-nazi'at. Aku suruh dia baca, aku semak. Biasalah, budak2, hampir semua ayat yang dia baca, kena diperbetulkan. Berkerut2 muka Umar. Aku senyum.

"Akak baca, Umar ikut, ya?"

Dia mengganggu kecik. Walaupun dia cuma ikut bacaan aku, still ada yang perlu diperbetul.

"Umar takkan boleh baca al-quran betul2." Dia kata tiba2.

"Mana ada." Aku balas. "Nak tau satu cerita?" Umar mengangguk.

"Nabi Muhammad dulu tak boleh membaca pun." Aku mulakan cerita.

"Macam contohnya, akak tulis atas kertas, perkataan bahasa jepun. Umar boleh baca tak?" Umar menggeleng.

"Tapi kalau akak sebutkan kat Umar, Umar boleh bagitau orang lain tak? Contoh akak kata perkataan yang akak tulis tu bunyinya 'ohayo'. Umar boleh ulang balik dan bagitau orang lain?" Umar mengangguk.

"Ohayo." Umar ulang tersengih2. Aku pun ikut sengih sekali.

"Waktu diturunkan wahyu, yakni ayat al-quran, Nabi Muhammad hafal je apa yang Jibril bagitau. Lepas tu Nabi bagitau sahabat. Sahabat2 pulak hafal dan bagitau orang2 lain. Sampailah satu masa, al-quran ditulis dan jadilah al-quran satu buku macam yang kita pegang ni."

"Diorang hafal semua ni?" Dengan tangan diisyaratkan ke arah al-quran, mata Umar dibesarkan. Aku senyum sambil mengangguk.

"Woaa." Umar sengih.

"al-quran ni, bukan turun satu buku terus tau. Jibril sampaikan sikit2 kat Nabi Muhammad, Nabi hafal dan bagitau sahabat2. Pastu sahabat2 pun hafal. Dan diorang sebarkan.

Umar tau tak wahyu pertama yang turun pada Nabi Muhammad?"

Umar menggeleng. Aku selak al-quran ke surah al-'alaq.

"Ayat 1 sampai 5 ni la wahyu pertama." Sambil aku tunjukkan ke arah ayat dari surah al-'alaq.

"Waktu tu, Nabi Muhammad dalam gua. Menyendiri dari kaum baginda yang berdosa. Orang mekah waktu tu sembah berhala, berjudi, mencuri. Nabi Muhammad tak suka. Jadi Nabi naik ke gua hira'.

Tengah Nabi duduk sorang2 tu, datang malaikat Jibril. Malaikat ni bukan macam manusia tau.

Malaikat Jibril suruh Nabi baca. Nabi kata, "aku tak tau membaca." Jibril suruh lagi. Nabi ulang balik. Last sekali, Jibril sebut
iqra' bismirabbikalladzi khalaq
Nabi pun ikut yang Jibril sebut."

Untuk lebih feeling, aku tutup mushaf al-quran di antara aku dan Umar. Aku pandang mata Umar.

"Umar try ikut ok?" Umar mengangguk faham.

Aku bacakan sedikit demi sedikit ayat 1-5 surah al-'alaq. Dan Umar mengikut perlahan-lahan.

"Itulah ayat yang Jibril awal2 sampaikan pada Nabi."

Aku buka kembali mushaf.

"Sama tak dengan yang kita baca tadi?"

Umar menyemak ayat dalam surah al-'alaq lalu memandang aku. Tersengih2 seraya mengangguk.

"Dulu Nabi hafal satu2. Sampailah ke kita ni. Takde beza pun. Hebat kan Allah jaga al-quran ni?" Umar mengangguk. Masih menyemak ayat tadi.

"Umar, kalau Umar lah, tengah duduk sorang2, tiba2 ada makhluk yang bukan manusia datang kat Umar, suruh Umar buat benda yang Umar tak reti, apa Umar rasa?" Aku tanya.

"Takut?"

"Betul. Nabi pun takut juga masa tu. Bila selesai, Nabi terus balik rumah. Nabi bagitau kat isteri Nabi minta selimutkan baginda."

Tau tak waktu Nabi tengah takut tu Allah turunkan ayat yang mana pulak?" Umar menggeleng.

Aku selak al-quran ke halaman surah al-muddaththir. Aku minta Umar baca terjemahan ayat pertama.

"Wahai orang yang berselimut." Umar membaca.

"Tadi lepas Nabi balik rumah, apa Nabi buat?" Aku tanya Umar.

"Nabi mintak isterinya tolong selimutkan." Setelah sesaat dua, Umar tergelak.

"Wahai orang yang berselimut!" Umar ketawa. Aku ikut ketawa. Ya Allah, muka dia waktu tu buat aku rasa akulah kakak yang paling happy kat dunia ni.

"Rasa macam al-quran ni cakap dengan Nabi kan?"

Umar mengangguk sambil tersengih2.

"Tapi kan Umar, al-quran ni bukan untuk Nabi je. Sebab tu lah Allah jaga al-quran ni, bagi kita pun boleh baca, kita pun boleh rasa yang Allah cakap dengan kita.

Ada sorang lelaki ni. Nama dia Ruben. Dia bukan Islam, dia tak percaya pun Tuhan tu ada. Satu hari, Allah uji dia. Mak ayah dia bercerai, dia ada banyak masalah, dia ada kes polis, minum arak, jadi dia sedih sangat. Rasa tak tenang. dia pikir kenapa dia hidup ni? Takkan untuk mati je.

Jadi dia rasa dia nak cuba ikut satu agama. Semua agama yang dia ikut, dia rasa ada pelik jadi dia tak ikut. Sampailah dia nak try agama Islam. Dia pegi masjid, jumpa orang kat sana sebabb nak tau pasal Islam. Bila dia tanya imam ke, orang masjid ke, semua soalan dia ada jawapan dalam al-quran.

Jadi dia rasa, Islam ni betul kot. Dia baca al-quran, cari pasal Allah. Pastu dia tau. Islam ni la yang sebenarnya yang betul. Tapi dia belum masuk Islam.

Satu hari, dia rasa bersedia nak masuk Islam. Dia duduk elok2, pasang lilin.

Dia kata kat Allah, "ya Allah, aku tau dah Islam ni betul. Tapi aku nak bukti sikit je. Bagi tingkap ni terbukak tertutup ke, bagi api lilin ni menyala ke meletup ke." Dia tunggu, tapi, tak jadi apa.

Dia pikir, mungkin Allah sibuk kot. Jadi dia doa lagi sekali. Dan tak jadi apa jugak. Semua sama je.

Ruben pun pikir, takkan Allah tak nak bagi dia masuk Islam kot. Pastu dia bukak al-quran. Dia baca ayat al-quran. Pastu dia tengok terjemahan. Terjemahan tu tulis
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran. 
(Al-Baqarah:164)
Allah kata langit, bumi, siang, malam, Allah dah jadikan bukti kuasa Allah, bukti Allah tu ada. Tapi orang yang nak berfikir ja akan faham bukti2 ni.

Dia betul2 rasa Allah cakap dengan dia. Sebab dia tengah cari bukti. Tapi dia minta Allah buat bukti kecik2 kat dia. Padahal Allah dah cipta banyak benda kat dunia ni sebagai bukti. Alhamdulillah, dia pun masuk Islam lepas tu. Nama dia sekarang Abu Bakr Ruben"

"Woaa." Mata Umar membulat.

"Best kan?" Aku tanya Umar. Dia angguk. Masih tersengih2.

"Macam Allah cakap dengan dia," kata Umar, takjub (mungkin).

Aku senyum. Tubuh kecil itu aku peluk. Aku pun takjub, dek.

30 Nov 2015

a town of bees

"Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta." 
(An-Naba', 78:35)
Setiba aku di ayat itu, aku berhenti. Cuba menghadam. Cuba membayang. Meredah hidup duniawi ini, acap kali manusia dilukakan, bahkan juga melukakan dengan kata2.

Lalu bagaimana agaknya nanti, perasaan berada di tempat indah, tanpa kata2 nista? Tanpa ada yang dusta? Tanpa yang sia2? Bagaimana?

Lalu, dengan izin Tuhan jua, aku bukakan telinga.

Dengung2 kecil di seputar kawasan itu tidak walau sedikit pun mengganggu. Tidak walau sedikit pun menghancurkan ketenteraman ruang suci itu. Meski tidak saling berbicara, sekaliannya memperkatakan hal yang sama.

Terpaku.

Mushaf di tangan aku tutup. Mataku dipejam. Biar telinga yang menadah keindahan tiada peri.

Ta'jub. Aman. 

Tak sepatah pun dari perkataan manusia. Yang aku dengar cuma bait2 dari kalam Tuhan. Dan dari satu penjuru, aku dengar ada suara kecil membaca;
"Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa." 
(Al-Waqi'ah, 56:25)
 *speechless*

Tuhan, aku malu memohon ini, tapi kalau sebegini indah sudah ada di dunia, bisa tidak aku merasakan nikmat paling indah di sana?

*****
...and the more we have in the society that are connected to the book of Allah, the more alive that society become, so that the whole town would be like a beehive with the sound of the Quran. And that's the same sound that you hear when you come to a Quran school. 
(The Quran Kids)

24 Nov 2015

the overwhelming


"Dunia ni tempat berpenat.
Syurga nanti tempat berehat."

Maka merugilah mereka yang berpenat di dunia,
kemudian menyambung lelah di akhirat sana!

Ketahui dengan jelas tujuan hidupmu.
Lalu hiduplah untuk redha Rabbmu.

Jangan tertunduk di sana nanti,
menahan lelah yang tiada henti.

*****
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.
Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak. 
(Al-Kahf, 18:103-105)
*****
 Pada hari itu banyak wajah yang tertunduk terhina. (Kerana) bekerja keras lagi berpayahan. Mereka memasuki api yang sangat panas. 
(Al-Ghashiyah, 88:2-4)
Kala penat merangkul jiwa,
bermuhasabahlah.
Apakah kita berpenat kerana Dia,
atau selainNya?

Kita berpenat ni,
untuk asbab yang berbaloi,
atau tidak?

the ascending stairways



Wahai Tuhan,

Huru hara bagaimanakah yang ada di hadapan?
Pada hari teman karib saling meninggalkan,
meski mereka saling berpandangan?

Aduh Yang Kuasa,

Azab bagaimana yang nanti kan memaksa,
seorang pendosa menebus dirinya,
dengan kesemua anak2nya,
dengan isteri dan saudaranya,
hatta dengan keluarga yang memayunginya.

Duhai Yang Perkasa,

Bala bagaimana yang nanti kan menimpa?
Sehinggakan tegar seorang pendosa,
menebus dirinya dengan dunia seisinya?

(Al-Ma'arij, 70:10-14)

*****

Sebenarnya mereka memandang azab itu jauh. Sedang Kami memandangnya dekat. 
(Al-Ma'arij, 70:6-7) 

16 Aug 2015

taha, musa dan 'umar



بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم 


Quran tu sangat cantik. Sangat indah. Dari semua segi. Intipatinya, susunan isinya, bahasanya, kisahnya, pedomannya. Sangat osem. Moga Allah jadikan kita dari kalangan mereka yang mempelajari Quran dan mengajarinya, memahami Quran dan menghargainya, yang mencintai Quran dan mengamalkannya. Amin, ya Rab.

Btw, post ini terinspirasi daripada blog post ini <-- klik

*****
Antara mukjizat Quran termasuklah kewujudan 'parallels' atau perkara2 yang berkesinambungan baik antara surah dengan surah ataupun antara peristiwa dengan peristiwa. Ingin saya kongsi di sini kesinambungan pengislaman susuk mulia dalam sejarah Islam, khalifah kedua selepas Rasulullah, saidina 'Umar Al-Khattab radhiyallahu 'anh dengan kerasulan nabi Musa a.s. Sebelum saya mula, rasanya, inshAllah kita akan lebih menghargai  perkongsian kali ini andai kita tahu kisah pengislaman 'Umar serta kisah kerasulan nabi Musa a.s.

Secara simplenya, saya share kisah pengislaman Umar dari kitab ArRahiqul Makhtum;
Perangai panas baran dan permusuhan melampau terhadap Nabi s.a.w. menyebabkan pada suatu hari dengan sebilah pedang terhunus di tangan, dia keluar dari rumah dengan tujuan membunuh Nabi s.a.w. Keberangannya menggila meluap2 sambil merungut. Kebetulan sahabatnya Nu'aim bin Abdullah bertemunya di pertengahan jalan. Sahabatnya amat hairan melihat nafsu amarah yang memuncak dan siapa pula yang menjadi sasaran panas hatinya, maka Nu'aim bertanya sambil lewa kepada Umar yang nampak meradang tetapi menjawab pertanyaan temannya: "Untuk membinasa lelaki bernama Muhammad s.a.w yang murtad, yang telah memecah belah perpaduan kaum Quraisy, mencari salah agama mereka, memperleceh para bijaksana mereka dan menghina tuhan2 mereka." Jawab Nu'aim: "Wahai Umar, saya pasti bahawa roh kamu menipumu. Apa kamu fikir Banu Abd Manaf akan membiar kamu berjalan2 di muka bumi ini kalau kamu membunuh Muhammad s.a.w.? Mengapa tidak kamu membetulkan keluargamu dahulu?" 
"Yang mana satu kamu maksudkan?" Umar bertanya marah, "... ipar kamu dan saudara perempuan kamu sudah pun murtad dan meninggalkan agama kamu." Ujar Nu'aim. 
Mendengar demikian, Umar segera menuju ke rumah saudara perempuannya. Apabila menghampiri rumah itu, dia terdengan suara Khabbab bin Aratt sedang membaca Quran (sahifah) surah Taha bersama isterinya. Mendengar jejak kaki lalu segera dia berhenti dan bersembunyi ke dalam kamar kecil. Sementara Fatimah, saudara Umar, mengambil sehelai daun lalu disembunyikannya Quran. Tetapi Umar sudah pun mendengar suara tadi. "Suara apakah aku dengar sebentar tadi?" Umar menengking marah. Kedua2 mereka menjawab, "Tak ada apa2!" "Bohong!" Umar membentak berang. "Aku dapat tahu kamu berdua sudah murtad." Dia meluru ke depan ke arah iparnya lalu memukulnya dengan ganas, tetapi Fatimah menerpa untuk menyelamat suaminya. Dalam pergelutan itu, Umar terjatuh ke atas Fatimah lantas terhentak ke kepala adik perempuannya. Kedua suami isteri tidak tertahan lagi sambil berteriak sekuat hati: "Ya, kami Islam, kami percaya kepada Allah dan Muhammad s.a.w. adalah PesuruhNya. Buatlah apa kamu suka." Apabila Umar ternampak wajah adik kesayangannya berlumuran darah, hatinya beralih lembut dan berkata: "Bagi aku tengok apa yang kamu baca, supaya aku tahu apa yang dibawa Muhammad s.a.w." Sedap hati Fatimah mendengar jaminan abangnya, tetapi dengan berani lalu berkata: "Wahai abangku, abang sebenarnya tidak bersih kerana menyembah berhala, abang tidak boleh menyentuhnya. Pergi bersihkan diri dahulu." Dia buat seperti diarah, dan kemudian membuka halaman Quran dan membaca permulaan ayat Taha hingga tamat: 
“Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku." (Taha, 20:14)  
Umar membaca ayat itu dengan penuh minat dan terpesona dengan kalimah tersebut, "Betapa ajaibnya ayat ini, begitu indah! Tolong bawa aku berjumpa Muhammad s.a.w." katanya.
ArRahiqul Makhtum ; Safi-ur-Rahman Al-Mubarakpuri 
 Adapun kisah kerasulan nabi Musa dapat kita lihat dalam Al-Quran.
Setelah selesai perjanjian antara nabi Musa a.s. dengan nabi Syu'aib a.s. yakni untuk bekerja dengan baginda, nabi Musa a.s. membawa keluarganya dan sejumlah kambing pemberian mertuanya, pulang ke Mesir. Maka pada suatu malam yang sangat gelap dan dingin, nabi Musa a.s. tiba di suatu tempat tetapi setiap kali baginda ingin menghidupkan api, api itu tidak mahu menyala.  (Qasas, 28:27-29) Setelah terlihat api di lereng bukit Sinai, baginda meninggalkan keluarganya dan pergi ke arah api yang terlihatnya. Setelah mendekati api tersebut, Allah telah menyeru nabi Musa, menyuruh baginda menanggalkan sepatunya dan melantik baginda menjadi rasul (Taha, 28:10-13)

*****
Pengenalan
"Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa?" 
(Taha, 20:9)
Allah membuka kisah kerasulan nabi Musa ini dengan memperkenalkan watak utama kisah ini.

Maka, dalam kisah 'Umar pula, kita sedia maklum, bahawa watak utama dalam penceritaan ini ialah 'Umar.

Sesuatu yang Menghangatkan
"Ketika ia melihat api, lalu berkatalah ia kepada isterinya: “Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya, atau aku dapat di tempat api itu: penunjuk jalan." 
(Taha, 20:10)
Seperti yang kita tahu, nabi Musa memulakan perjalanan baginda dengan niat tertentu yakni menuju ke Mesir. Tetapi dalam perjalanan, sesuatu berlaku yang menyebabkan baginda terpaksa membuat lencongan. Di hujung lencongan (Lembah Tuwa di Bukit Sinai) tu pulak ada api, simbolik kepada sesuatu yang menghangatkan dan memberi keselesaan.

Macam tu jugak kalau kita lihat dalam kisah 'Umar. 'Umar keluar dari rumahnya dengan satu niat, yakni untuk membunuh baginda nabi s.a.w. Tetapi, dengan izin Allah, pertemuannya dengan Nu'aim telah membuatkan 'Umar membuat satu lencongan ke rumah adik perempuannya, Fatimah. Di hujung lencongan tersebut, tanpa 'Umar ketahui, telah menanti suatu nikmat yang akan mendatangkan kehangatan, ketenangan dan keselesaan ke dalam hatinya, yakni nikmat iman.

Seruan
Maka apabila ia sampai ke tempat api itu (kedengaran) ia diseru: “Wahai Musa! ”  
(Taha, 20:11)
Nabi Musa a.s telah diseru oleh Allah.

Walaupun tak secara zahirnya diseru, boleh bayangkan tak, orang bila dah berang, dia kata A, A lah jadinya. 'Umar pulak, walaupun dia keluar dengan hati yang berang, dengangniat tekad ingin membunuh Rasulullah s.a.w., dia telah mengubah haluannya seolah2 telah terpanggil akan suatu panggilan yang lebih utama. Seruan dari Tuhan yang mentaqdirkan 'Umar untuk mendekati rumah adiknya Fatimah.

Penyucian Diri
"Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa yang suci." 
(Taha, 20:12)
Allah telah memerintahkan nabi Musa a.s. untuk membuka sepatu baginda sebagai simbolik penyucian diri sebelum menerima sebuah risalah penting dalam hidup baginda. Sebelum terjadinya peristiwa turning point dalam hidup baginda juga membuka lembaran baru bagi orang2 Islam zaman itu (bani Israel ; sebab nabi Musa a.s. bawa bani Israel keluar daripada kancah perhambaan).

'Umar juga telah disuruh oleh adiknya untuk membersihkan dirinya sebagai simbolik penyucian diri sebelum dia mendapatkan lembaran sahifah yang mengandungi beberapa ayat daripada surah Taha. Suatu turning point yang akan mnegubah hidupnya sekaligus membuka lembaran baru bagi umat Islam di Mekah yang pada waktu itu tertindas.

Terpilih
"Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu." 
(Taha, 20:13)
Dalam ayat ini, Allah telah menyatakan tentang terpilihnya nabi Musa a.s. sebagai rasul.

Ada diriwayatkan (sanadnya lemah) bahawa Nabi s.a.w pernah berdoa, "Ya Allah, perkuatkanlah Islam sama ada melalui 'Umar AlKhattab atau Abu Jahal Hisyam." Maka sinaran hidayah ke hati 'Umar ini bukankah merupakan suatu bukti Allah telah memilihnya?

Merentas Masa


Here's the best part. Seolah2 Allah berfirman kepada kedua2 manusia hebat ini, dalam masa yang sama;
“Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku. 
(Taha, 20:14)
Subhanallah, 2 manusia yang tak pernah saling berjumpa, yang tak hidup sezaman, tapi melalui jalan yang selari di satu titik hidup mereka dan telah menerima ayat yang sama daripada Allah.

*****


Kuliah Ustaz Wadi Annuar menggunakan kitab ArRahiqul Makhtum bab Umar Bin Al-Khattab Memeluk Islam.

Moga bermanfaat untuk kita semua.